Monday, July 15, 2013

Ramadhan Wadah Latihan


Alhamdulilah syukur pada Allah yang memelihara kehidupan kita walau dalam apa wajah sekalipun, disebalik segalanya terkandung himkah yang besar bagi hambanya yang berakal. Alhamdulilah, diam diam kini genap seminggu (7 hari) Ramadhan Kareem, Alhamdulilah selama seminggu ini diri bagai diulit rasa bahagia kerana melalui banyak perubahan diri dalam dan luaran. Dalaman yang semakin tunduk pada iman dan luaran yang semakin sebati dengan bersederhana. Alhamdulilah masih sempat menikmati hidup yang saban waktu menghitung zikir nama nama indah Allah, Masih mampu mengejar banyak bacaan dalam waktu pendek, masjid menjadi wadah ketenteraman jiwa dan hubungan bersama suami dan anak anak. Saban hari memberi ruang untuk menyumbang kebaikan dari diri ini buat orang lain walau sekecil kecil hidangan buat keluarga. Semoga semua ini mendapat penilaian hebat dari Allah swt dan mencatatkan pada catatan diri ini.
Jurnal cinta Ramadhan terus berlansung dari minda ini walau sesekali dihimpit kesihatan diri. Alhamdulilah, rezeki idea tidak pernah putus, malah semakin bercambah penuh takjub, inilah kuasa Allah bila kita memilih Allah, segalanya menjadi mudah. Segalanya Allah permudahkan, segalanya bagai rancangan indah dari Allah termasuk sedikit pengalaman sakit dan tidak bermaya. Moga Ramadhan ini banyak dosa dosa lalau dihapuskan Allah. Alhamdulilah, kami masih menjaga terwikh kami, walau dua kali berterawikh dirumah, namun masih indah berkesempatan membetulkan bacaan dan perlakuan anak dalam mengimamakan solat. Ternayata, tugas membentuk anak anak bukan sepenuhnya di tangan pihak sekolah, pendedahan yang baik perlu bermula dari rumah.
Alhamdulilah peluang bersolat terawikh di surau Assyakirin terus menjadi kesukaan kami, bacaan surah dalam solat oleh imam masjid amat amat menyentuh hati. Setiap kali itulah aku bagai mendoakan pada diri ini agar dikurniakan seorang anak yang lunak suaranya mengalunkan bacaan surah mengimamkan keluarga dan orang orang yang bersolat. Moga satu hari nanti inilah suara fayyadh anakku ya Allah. Ramadhan kali ini memperlihatkan harapan, harapan yang betul yang sekian lama bagai didorongkan Allah, in sya Allah pasti Allah akan memudahkan. Amin.
Ramadhan kali ini juga memperkenalkan aku betapa bahagianya bila emosi berjaya ditadbir, bila minda berjaya diselia, bila iman dan spiritual menajdi tunggak teratas, Alhamdulilah, masuk 7 hari ini juga, kami makan bersama dirumah, walau satu hari terpaksa membeli makanan disebabkan lambat sampai semula dari melawat kakak dan bertemu Eid mengambil barang. Alhamdulilah perencanaan seminggu membeli barang barang dapur cukup untuk seminggu, ternyata bila kita tenang kita tidak akan kerugian kerana kita memiliki banyak tenaga dan tindakan berbanding rungutan dan alasan. Pelbagai menu dihidangkan, selain merapatkan lagi hubungan, kami juga mampu berjimat cermat sebagaimana disarankan dalam agama Islam, kerana sesungguhnya membazir itu saudara syaitan. Ramadhan sesungguhnya wadah latihan yang comprehensif.
Alhamdulilah, hari ini tiba tiba suara hati mengetuk ngetuk untuk berbuka bersama adik adik, akhirnya kami merancang untuk adakan POT LUCK RAMADHAN dirumah aku. Disyaratkan setiap orang membawa 2 ke 3 hidangan, so boleh ada 9 hidangan termasuk kuih muih dan nasi serta air, aku selaku tuan rumah akan menyediakannya. Idea potluck ini hanya kerana takut tidak mampu memasak banyak dan menepati selera dan citarasa sang suami masing masing, lagi pun tidak wajar untuk membebankan sesiapa. Biar sama sama adil, kalau beralah dan bertolak ansur pun sedikit pada siapa yang sanggup, dengan ini lebih membawa makna KESATUAN DAN KEBERSAMAAN. In sha Allah, aku akan sediakan, sayur lemak, ayam masak merah, kerabu pucuk paku dan tepung bunga labu. Sayur lemak itu rasanya sayur lemak terung bersama petai. Sambal belacan dan ulam ulaman seperti biasa. Sudah terbayang pasti meriah walau suasana sempit, in sha Allah malam itu kami akan membaca yasin dan bersolat jemaah bersama. Sudah lama aku impikan saat saat ini, semoga Ramadhan Kareem ini makin mendekatkan hati hati kami.
Diluar sana hujan bercurahan, dalam sekelip mata selepas panas terik. Begitulah besarnya takdir Allah, seperti yang dikehendakinya, tanda tanda awal bukanlah selalu ada pada kekuasaannya, hanya sepantas KUN FAYAKUN. Hujan yang membawa rahmat kesejukan pada bumi yang kering dan kepanasan, hujan yang menyejukan hambanya yang berpuasa, semoga hujan ini datang bersama iman dihati. Betapa kerdilnya kita, betapa agungnya rahsia Allah, betapa ruginya andai kita mengenepikan ruang mengenali Allah dan mendekatan diri padanya. Maha suci Allah pilih aku untuk kecintaanmu dan jadikan aku hambamu yang selalu bersyukur atas nikmat nikmatmu yang tidak pernah putus. Amin