Wednesday, June 5, 2013

Hadiah dari HATI


Subhana Allah maha kaya dan agungnya Allah pencipta seluruh ala mini termasuk diri kita. Terasa hebat melalui hari ini serpihan kehebatan darinya kerana itu permohonan terus ketika sujud sebagai hamba menjadi rutin setiap kali solat, permohon agar dipermudahkan segala urusan kehidupan secara terperinci. Subhana Allah maha suci Allah yang maha mendengar dan menyayangi hambanya penuh tulus dan mengetahui hati hati tulus yang menyayangi zatnya. Bagaimana hebatnya Allah tempias turut terasa begitu hebatnya kehidupan yang disediakan buat kita. Hanya akal yang dipandu ilmu sahaja yang mampu menemui rahsia di dalam rahsia Allah.
Rezeki pertemuan dan kasih sayang sebuah rezeki agung dari Allah pada manusia. Aku terasa getar nikmat setiap kali perkataan rezeki yang luas itu disebut dan diingatkan pada diri. Terkenang betapa bahagianya diberikan REZEKI PERTEMUAN dengan Tok Cik ibu tiri mak yang juga sekaligus menjadi nenek tiri aku, pertemuan disaat saat kritikalnya yang dijanjikan Allah menguji HATI DAN IMANKU. Aku bahgia disaat saat begitu, kebaktian terakhir sebagai cucu tiri bersama anak anakku mampu kami laksanakan penuh ikhlas dan luhur. Semoga dia menikmatinya penuh barakah.
Mendengar berita kesakitannya dari Mak menjadikan aku pantas mengeluarkan pendapat yang bersifat agak VETO. Aku katakana pada adik, kalau orang sakit tenat jatuh tidak baik kita teruskan kenduri doa selamat, yang dahulu perlu didahulukan. Alhamdulilah sebulat suara keluarga bersetuju kami menuju ke Kampung Buloh Kuala Berang bersama sama melawat dan menziarahi Tok Cik yang sudah sangat uzur itu.
Entah mengapa, perasaan aku sarat dengan rasa tenang dan sedih, dua rasa berbaur sesekali dengan rasa bahagia. Mungkin bahagia sebab dikelilingi aura kuat hubungan keluarga dan sedang menuju untuk membina tembuk silaturahim suruhan Allah. Berkali kali aku berzikir mengucap syukur, takbir dan tahmid, perjalanan 2 jam itu kami redah bersama. Tepat jam 12 tengah hari kami selamat sampai.
Melihat tok Cik terbujur kaku lemah tapi masih bernyawa, rasa insaf merentap diri. Beginilah kita suatu hari nanti, apa yang kita buat hari ini seolah olah kita tidak akan menempuh saat saat akhir kesakitan dikala nyawa bercerai dari badan. Aku menghampiri Tok Cik dan mengisyaratkan anak anakku mengikuti aku bersama surah yasin di tangan masing masing. Aku memulakan bacaan sambil didalam hati berdoa ya Allah permudahkan perjuangan yang sedang dihadapi Tok Cik. Bermula saja sebutan Yaaasssiiinnnn, hati aku bagai bergetar kuat, aku terhenti seketika, luahan air mata sudah mula mencurah bersama esak dan tangis aku, sepanjang bacaan itu aku tidak henti henti mengesat air mata, aku dan anak anak begitu ikhlas menghadiahkannya bacaan yasin buat penawar kedukaannya ketika itu. Itulah tanda kasih sayang kekeluargaan dari kami.
Sepanjang bacaan itu, aku terbayang usaha usahanya, sering memanggil aku menghulurkan roti dan air kopi, mengajak aku mengikutnya pulang, menghulur duit untuk beli gula gula. Masih aku teringat raut wajahnya yang cantik, sepertimana sue Maziah. Cuma aku yang sering mengelak kerana menghormati nenek sendiri yang pernah bermadu dan keluarga mak yang tidak begitu menyenanginya. Kini aku boleh berfikir, jangan bawa masuk urusan hati dan peribadi orang lain dalam hidup kita, kenangkan kebaikannya, kenangkan kedaifannya, aku yang bersalah kerana masa kecil tidak bijak menilai, semoga segalanya belum terlambat dan aku sempat membalas segala niat baiknya terhadap aku.
Alhamdulilah, aku bangga dengan anak anak yang turut terasa getar emosi aku. fayyadh sibuk tertanya sendiri, mengapa Mama lebih sedih dari Mak?, panggilan untuk neneknya. Semua tidak tahu bagaimana harus menjawabnya, memnag aku tidak melihat orang lain menangis, Cuma wajah paling sugul dan keletihan mungkin kerana banyak berjaga menjaga Tok Cik hanya pada wajah Cik The dan Ayah Teh, siapa yang hatinya lebih peka , lebih telus pasti akan lebih terasa tempiasnya. Di umur umur begini, aku terasa isu kematian dan kesakitan begitu menginsafkan, Alhamdulilah mesej Allah terdampar di hati, inilah pedoman untuk aku menneruskan hidup di usia begini, kita bukan hidup untuk mengejar seronok, kita dihidupkan bertempuh untuk mencari kebaikan akhirat disamping membina kebaikan dunia. Subhana Allah betapa kita manusia ini begitu kerdil disisi tuhan pencipta alam. Usah berdegar merasakan kehebatan dan membina keegoan diri. Keegoan itu sendiri menjadi batu penghalang segala ruang dan peluang peluang ke jalan Allah yang lebih pasti.
Mulai dari saat sentapan di jantung di sisi Tok Cik ketika bacaan Yasin dibaca, aku akan selalu mencari peluang menziarahi orang sakit dan meninggal dan menghadiahkan Yasin pada sesiapa saja yang berada di situasi begitu sebagai sedekah ikhlas dari hatiku buat mereka walaupun mereka yang memusuhi dan mengkhianati aku.

Alhamdulilah, pengalaman ini menjadikan aku lebih CELIK HATI, terima kasih Allah atas kasihan belasmu, kasih sayangmu, cahaya sinar iman darimu, kecintaan hakikimu, kerana memberikan aku ilham HADIAH DARI HATI buat mereka yang berada disekelilingku, aku akan terus berbuat sekecil kecil bakti, sebagai sebesar besar rasa syukurku atas setiap anugerahmu. Amin, ohhhh Ummi Saba sedang sakit, perlu rancang untuk ziarahi Ummi juga. Ya Allah izinkanlah, permudahkanlah usaha usaha kecil ini, Amin.. amin.. amin.