Friday, September 7, 2012

Titipan Bahagia Syawal



Syawal ke 20 bermakna sudah 20 hari meninggalkan syahdunya Ramadhan. Masih meriah disana sini jamuan makan sempena hari raya, hari ini saja ada dua tempat dan aku hanya larat pergi satu tempat saja. Ada 9 hari lagi untuk berada dibulan Syawal, dan aku perlukan paling lama 3 hari untuk keuzuran syarie yang tidak mengizinkan aku meneruskan nikmat puasa syawal setelah selesai 5 hari puasa ganti. Alhamdulilah sudah berlalu sehari syawal walau dalam kesihatan yang agak runcing sekembali dari Fraser Hill dan insya Allah ada lagi 5 hari dengan izin tuhan kalau itu sudah menjadi takdir rezeki buat aku, pasti akan berjaya aku menikmatinya.
Tubuh badan terasa lain bila jauh dari peluang beribadat, muka terasa lain bila tidak berwuduk sekurang kurangnya 5 kali sehari, hari terasa lain tanpa mengelek alQuran sepanjang hari. Waktu waktu begini seakan KEREHATAN semulajadi yang diberi Allah, kalau dulu begitu suka dan lagi lama lagi gembira, tapi sekarang, aku pasti menitipkan doa, Ya Allah pendekkan tempoh uzurku ini kerana TERASA KEGERSANGAN jiwa tanpa titipan nikmat ibadat. Alhamdulilah hati dan bibir terus melafaz zikir mengingati kehebatan nama nama Allah dan zikir amalan Imam AlGhazali. Hati ini rindu pada bacaan surah AlKahfi kerana hari ini hari Jumaat yang sering dinanti untuk bacaan Surah Al Kahfi.
Minggu yang agak sibuk, tapi tenang. Berhati hati menyusun pengisian, yang pasti orang yang memerlukan diutamakan. Hingga hari ini pengeposan Iope tertangguh dan hanya boleh dibuat besok, insya Allah bolehlah breakfast mkn sushi dgn Harraz. 3 Malam berturut turut, ada pejumpaan panjang, ada perluahan jiwa dari insan yang pernah buat aku rasa bahagia. Alhamdulilah, aku puas hati dapat menjadi seseorang disisi mereka, seseorang yang istimewa bila suatu rahsia besar hanya dikongsikan dengan aku. Sepnuh tenaga aku kumpul untuk menghadirkan jiwa, hati dan kasih sayang. Sedaya upaya aku berputar ligat berfikri dan melihat apa ruang disebalik kemelut yang dihadapi. Pantas aku mengingati pakar pakar lain yang boleh dirujuk. Alhamdulilah, setakat yang terdaya aku berpuas hati, namun diperjalanan pulang dan setiap kali aku teringat, doa khas aku kirimkan buat mereka agar dibantu Allah dengan penuh hikmah dan dapat dikesan dan diganti keimanan dihati. Ya Allah hanya kau tempat kami mengadu kerana sebaik baik penentu buat kami hanyalah takdirmu.
Dalam kesibukan ini juga rasa gembira melihat perkembangan hubby dan bersama itu aku melihat bagaimana cina dan kasih kami kembali ditempatnya malah kali ini kedudukannya lagi mantap dari dulu. Hanya kami yang merasa dan hanya kami yang memahaminya. Gembira melihat bagaimana hubby bergaul dengan kwn kwn training. Gembira melihat hubby bekerjasama dan menyumbang. Gembira melihat hubby belajar menilai kerja kerja khidmat orang orang seperti kami yang mengendalikan makmal manusia. Alhamdulilah segalanya Allah aturkan semakin senang dan membahagiakan.
Semalam episode terakhir meeting minggu ini. Sehingga pagi aku tidak mampu lelapkan mata. Terlalu banyak harapan yang tergambar diminda dan terlalu bahagia mengalir ditasik hati serasa sejuk apalagi bila dengan perlahan aku lafazkan zikir Alhamdulilah berkali kali. Pertemuan dengan Aziz seakan Allah mengabulkan doakku. Aku melihat potensi Aziz dan aku melihat bagaimana keluh kesahnya dia menjalani apa yang dia ada sekarang. Aku dapat rasakan bagaimana banyaknya tenaga dan idea diminda Aziz. Aku ingin melihat dia maju lebih dari apa yang dimilki sekarang dan aku terasa sayang dengan potensi yang dimilikinya. Alhamdulilah kami berbincang untuk berpadu tenaga, kami saling memerlukan, dia melihat aku bagai keluarga sendiri. Alhamdulilah pintu rezeki semakin terbuka walau ada ruang lain yang cuba di sekat manusia. Bukan manusia yang memberikan kita redha dan rezeki tapi Allah. Usah risau kalau dipinggirkan, usah sedih jika diketepikan, aku kuatkan hati membentang rasa redha didada, dan redha kita mendatangkan redha Allah pada kita kembali. Satu persatu peluang datang, dan yang perlu ialah tindakan seterusnya dan usaha yang berterusan.
Kembali dirumah aku mencari bumbung tinggi dalam minda. Syiling yang ingin aku adakan, syiling yang ingin aku komposekan yang berlandaskan kesucian islam dan keindahan Iman. Segala aktiviti akan aku sandarkan pada syiling itu, kalau berbentuk menyokong, aku pasti akan melakukannya. Alhamdulilah, hari ini walau agak mengantuk, Allah permudahkan kerja kerjaku. Allah melembutkan hati aku untuk terus memberi maaf dan menerima seadanya kekurangan orang lain walau hati sendiri begitu sadis dikhianati. Biarlah dia berurusan dengan Alalh bukan dengan aku. Aku tidak mengheret apa apa luggage yang berat kehulu kehilir. Semuanya ringan dan kepala bersedia untuk menerima proses apa saja dan walau dimana saja. Mengurangi benda yang tidak wajar akan memberikan lebih ruang pada yang lebih berhak untuk difikirkan.
Alhamdulilah, aku panjatkan syukur pada Allah. Tiada kata yang mampu aku gambarkan untuk memperlihatkan bagaimana indahnya nikmat hidup yang diatur untuk mencari keimanan dan taqwa. Ya Allah peliharalah diriku dan keluargaku, insan disekelilingku, umat umat Islam yang teranaiya. Cekalkan hati kami dengan kasih sayangmu. Nampakkan pada kami nikmat kehidupan akhirat mu adalah pilihan kami. Dunia ini semuanya sementara. Tiada apa yang kekal dan tiada apa yang mampu dibawa bersama untuk dipertaruhkan dihadapan Rabbi yang Esa.