Tuesday, June 19, 2012

Tinta Kasih Bonda: SENDIRI dan TERASING




Apa lagi selain semulia lafaz Alhamdulilah, Alhamdulilah atas takdir Allah hari ini 29 Rejab bersamaan 19 June 2012, aku mampu menapak kaki ke pejabat, mengadap boss dan berbincang serta menguatkan diri untuk terus menunggu hingga waktu pejabat berakhir atau mungkin lewat sejam memandangkan kerana sakit kepala yang melewatkan aku pagi tadi, sakit sakit badan seakan demam, sesak nafas dan tegang otot hampir seminggu meragut waktu waktuku. Alhamdulilah walau sakit masih bersisa, Allah memudahkan perjalanan hari ini, Alhamdulilah juga boss membantu mengambil nama untuk diberikan kepada saudaranya yang mampu melihat disebalik situasi ini. Kalau ikutkan pemeriksaan doctor, aku bebas dari sebarang sakit, namun sakit yang ada ini aku tidak pasti dari mana dan apa puncanya. Sebagai hamba Allah yang percayakan kekuatan Al Quran, aku hanya terus meningkatkan amalan dan kekuatan dalaman diri. Bacaan Quran, solat sunat dan fardhu, zikir, mathurat dan manjit. Allah sebaik baik pelindung dan pemberi kasih sayang. Sesungguhnya hanya padanya tempat kita menyerah diri.
Tulisan ini bersambung selepas satu jam mengendalikan sessi kausneling berkelompok dengan pelajar baru. Alhamdulilah kesan ubat yang diambil pukul 1 tadi, kesan solat, zikir dan bacaan Quran waktu rehat tadi, aku mampu menerima client dan perbincangan kami sedikit pun tidak memberikan kesan pada sakitku. Moga semua ini terhimpun menjadi ibadah yang indah. Alhamdulilah dalam hati bersarang rasa gembira dan puas bila mampu membuat pelajar pelajar itu menerima dan senyum untuk terus berdepan dengan hidup mereka. Aku masih ada sedikit waktu bersisa untuk meneruskan tulisan ini sebelum pulang petang nanti. Kalau diizinkan Allah, aku dan hubby akan kemasjid untuk solat maghrib dan Isyak. Barulah menuju ketempat makan yang berdekatan dan kalau berkesempatan dan hubby setuju, ingin aku singgah kerumah adik menemui Mia dan mendodoikannya dengan zikir munajat seperti semalam. Bahagia rasa hati melihat Mia tidur dipangkuanku, kalau dibandingkan besarnya pertolongan adik masa anak anakku kecil dahulu, pertolonganku ini kecil sahaja. Mana yang terbaik aku lakukan selama Allah mengizinkan. Kalau tidak jadi mungkin ada ketentuan lain dari Allah yang lebih baik buat kami.
Semenjak seminggu ini terasa diri seakan SENDIRI dan TERASING. Terasa bagai semuanya hanya seketika, dan terasa diri ini tiada makna buat semua orang, sebaliknya diri ini hanya menjadi PROVIDER selamanya. Tanpa iman dihati, terasa perasaan ini bagai TERCENGKAM dalam diri, tanpa peluang untuk usaha mendekatkan diri pada Allah, terasa perasaan mampu menjadikan sesak nafas ini. Alhamdulilah, dari Ahad perasaan ini menjelma, hari khamis ikhtiyar maksimum mamp diadakan dengan izin Allah. Melaluinya bagai berada disatu dunia asing. Alhamdulilah bantuan Allah tiba sejurus selepas melaluinya untuk memahaminya. Allah tidak pernah sia sia dalam susunan takdirnya. Kerana desakan perasaan ini, menjadikan aku terasa semakin hamper dengan Allah. Aku merasa hadinya penuh khusyuk dalam solatku dan sekaligus aku rasakan AKU HANYA ADA ALLAH DIDALAM HATI. Inilah saja kekuatanku.
Khamis itu jugalah, aku tunaikan janjiku pada diri untuk khatam Quran. Alhamdulilah, bacaan semenjak January berakhir June, dan Jumaat 15 June terus aku mulakan semula Al Baqarah bersama terjemahannya. Dan hari ini 19 June tamatlah bacaan surah pertamaku bersama pengajaran dlm terjemahannya. Alhamdulilah, setiap kali membaca hati bagai disentuh, disayat sayat dengan rasa pilu oleh pengajaran ayat ayat Quran itu dan kisah kisah yang terkandung didalamnya. Hajat dihatiku, setiap kali lepas satu surah, aku ingin bersedekah. Aku ingin terus memeriahkan amalan sedekah sebagaimana yang sangat banyak diceritakan dalam surah Al Baqarah. “ Bila cukup keperluan kita yang PATUT, infaklah harta harta yang selebihnya pada kaum keluarga yang susah, orang yang tidak berupa, anak anak yatim, orang yang dalam musafir dan orang yang menuntut ilmu. Inilah hidup yang bahagia dan membahagiakan.
Dalam seminggu ini juga, aku dikejutkan dengan berita TENAT Pak Long, abang kepada bak dan ayah kepada Ja sepupu kesayanganku. Dalam solat sebelum perjalanan pulang Jumaat lepas untuk ziarahi Pak Long, aku berdoa penuh khusyuk agar Allah berkan aku rezeki untuk menemuinya sebelum nafasnya berhenti. Sepanjang perjalanan aku mengenangkan kisah kisah silam bagaimana penyayang dan pemurahnya insan yang aku panggil pak Long ini. Setiap kali dia dating, aku pasti akan dapat makan ice cream mahal. Dialah satu satunya bapa saudaraku yang membina kerjaya hebat bermula dari bawah. Naiknya dia ditaraf Manager sebuah company cina hanya kerana KEJUJURAN dan KEBAIKANNYA. Aku samakan dia dengan Boon Siew. Seorang yang gigih. Sedari kecil aku kagumi dia, apa lagi bila Bak selalu menyebut dialah yang menjaga Bak semenjak mereka kehilangan ibu. 10 minit dibilik ICU, air mata aku bagai sungai. Aku tidak mampu lagi menahannya dari terus mengalir laju dipipi. Aku tidak mampu lagi sorokan persaan hiba melihat dia terlantar lemah tidak bermaya. Tergambar usikannya, terimaksihnya saban kali aku membantu anak anaknya. “Sikit saja pertolongan kami pak Long berbanding pengorbanan Pak Long buat kami sekeluarga”. Ketika aku menyentuh lengannya, aku berikan salam, aku bisikan ketelinganya, pak Long, Ja datang lawat Pak Long. Sejurus aku melihat reaksinya, seakan menjawab sapaan aku. Ya Allah kau tempatkan arwah Pak Long bersama arwah orang orang beriman. Aku masih ingin menjadi anak saudaranya diakhirat nanti. Al fatihah buat Pak Long.
Ya Allah, mati itu pasti buat kami, jadikanlah kami hambamu yang sentiasa menyedari hakikat itu. Jadikan kami hambamu yang tidak lalai, jadikanlah kami hambamu yang mendapat Husnu Khatimah. Buat sepupu sepupuku, fauzi, Ja, Suraya, Nita, Zira, Nisah, Senan dan along moga kalian tabahkan hati menempuh waktu waktu kehilangan ini. Kami juga terasa, kita sama sama kehilangannya. Semoga pemergiannya menyatukan lagi kita sebagai  KAUM KELUARGA. Salam Takhziah penuh kasih sayang dari kami sekeluarga.