Thursday, November 22, 2012

Redup Sinar Muharram



November semakin bergerak keminggu minggu terakhirnya. Masa semakin terasa bergerak begitu pantas. Hidup seperti biasa ada ceria dan gundah sebagaimana air ada pasang surutnya. Alhamdulilah makna dan penghayatan hidup semakin mendekati dan semakin terbuka luas, mungkin mengambil masa yang agak panjang untuk mahir menguasainya. Alhamdulilah sukar macam mana pun lama lama akan biasa. Saban hari pengalaman menajamkan asas praktis hingga akhirnya menjadi begitu berkemahiran. Apa yang penting sekarang apa yang ditunggu sudah tiba, apa yang didamba sudah berada diribaan dan apa yang diharap sedang diusahakan.Syukur pada Allah atas rasa sedar dan celik mata hati.
Hari ini menjadi hari pertama makan tengah hari bersama anak anak, menjadi hari pertama tepat jam 12.45 tengah hari berkejar ke café terdekat untuk dapatkan lauk pauk dan menjadi hari pertama memecut pedal kereta membelah kepanasan mentari tengah hari demi waktu bersama dan perut anak anak. Tiada yang sukar kalau segalanya bermula dengan perkataan RELA. Aku rela bersusah payah asalkan mampu mencipta kelainan pada menu anak anak dan aku juga rela demi ingin terus bersama mereka. Berpisah bukan pilihan lagi kecuali pada keperluan untuk meneruskan pengajian.
Tiada yang lebih bahagia dihati seorang IBU bila bersama anak anak. Rumah bagai kembali ada RUH dan SERI. Apalagi bila hubungan kasih sayang dikuatkan dengan solat berjemaah dan bacaan Al Quran secara berterusan. Alhamdulilah, disiang hari termasuk waktu subuh, Fayyadh menjadi Imam kepada adik dan kakaknya, dan dimalam hari kami bersolat bersama. Kami biasakan anak anak dengan kesederhanaan, budayakan kerjasama, komunikasi sihat, galakan berbincang dan hormat pandangan sesama sendiri. Sesekali aku menyelitkan soalan nakal pada mereka, mahukan pulang kembali tinggal dikampung?, serentak mereka jawa ‘Tak Nak’. Mungkin masanya telah tiba untuk aku menjadi seorang yang bebas dari pergantungan, mentadbir hidup sendiri sepenuhnya. Aku seakan sudah bersedia jiwa dan raga, physical dan emosi. Alhamdulilah perancangan Allah begitu sempurna sekali.
Terasa benar kata kata pakar, bila ibu bapa yang berkasih sayang, malaikat rahmat akan datang menghuni rumah bersama dan bila bersolat jemaah seisi rumah, rumahtangga akan penuh barakah dan rezeki datang mencurah curah. Alhamdulilah aku terpilih untuk melaluinya dan merasai nikmatnya. Syarat pertama kami bersama, sama sama kami ikuti lebih lebih lagi selepas awal muharram baru baru ini, iaitu utamakan solat jemaah bersama. Insya Allah, kami akan menunaikan puasa sunat bersama sempena 10 muharram pada sabtu ini.
3 hari sudah berlalu meraikan keputusan peperiksaan UPSR. Alhamdulilah tanpa diduga, fayyadh berjaya dengan cemerlang. 4 A 1 B untuk budak lelaki yang gilakan game seperti Fayyadh seakan sebuah mimpi pada aku tapi inilah hakikatnya. Sebagai menghargai kesungguhannya, aku menghadiahkannya sebuah kamera Sony dan berjanji untuk bercuti berdua dengannya. Senyum lebar Fayyadh, kami mengajarkannya mengucapkan Alhamdulilah setiap kali menerima ucapan tahniah dan pujian. Segala kejayaan itu anugerah Allah harus diterima dengan hati yang tidak bongkok dan sombong. Kini Fayyadh begitu bersemangat untuk meneruskan penerokaan kejayaannya yang sudah mula bertapak itu. Itu yang lebih penting dari berapa banyak bilangan A yang dikutipnya.
Disember yang ditunggu penuh debaran ialah keputusan peperiksaan PMR kakak. Kami sama sama panjatkan doa moga kejayaan cemerlang milik kakak. Insya Allah. Aku bernazar untuk puasa 3 hari kerana Allah kiranya kakak mendapat 9A dan akan bersedekah disetiap masjid yang ditemui disepanjang perjalanan dari sekolah ke rumah. Inilah sebahagian dari rasa syukur yang akan aku buat kerana Allah sebagai menyokong usaha anak anak. January 2013 akan dimulakan dengan kenduri kesyukuran. Aku berhajat untuk menjemput guru guru Fayyadh dan jiran jiran mak meraikannya bersama sama. Setiap guru akan diberikan sehelai kain pelikat sebagai tanda kenang kenangan. Semua ini bukan sebab BERDUIT, kalau tiada duit pun akan aku usahakan, insya Allah akan ada rezeki yang Allah sediakan selagi kita tidak berniat membina tunggak keegoan dan bangga diri. Insya Allah
Kini jam 4.45 petang, janji dengan anak anak untuk membelikan hidangan minum petang. Agenda minum bersama petang ini bolehlah mengambil kesempatan untuk mengutarakan 2 perkara, 1. ‘The clear picture on task’. Kakak mungkin boleh pelajari sesuatu disebalik tugasan menyidai kain agar ianya bukan sekadar suruhan mama. 2. Memahami maksud ‘accept yourself as you are now’. Agenda pertama dalam live happily point. Anak anak perlu menyiapkan 5 perkara bagus tentang dirinya petang ini dan 5 perkara buruk yang perlu diperbaiki malam nanti. Alhamdulilah ketiga tiga anak anak jenis suka belajar dan suka berkerjasama apalagi bila diberi cabaran dan ganjaran. Selain menumpu anak orang dalam tugasan seharian, apa salahnya membawa pulang sedikit element pembinaan diri untuk anak anak sendiri.
Hari ini 8 Muharram, sinar muharam baru memerbitkan cahaya buat kami, baru seminggu kembali bersatu, 10 hari pertama banyak menumpukan kerja kerja physical rumah dan suai diri. Ternyata penat tiada bila hati terhibur, kalau dulu pulang kerja tidak penat, tapi dek kerana tiada ruang kasih sejati didepan mata, saban hari menahan rasa dan tekanan rindu yang jenuh diusaha ketepikan. Semuanya bukan mudah buat aku seorang ibu yang melihat disebalik dugaan hidup yang sudah ditakdirkan Allah, ada cahaya suci pada setiap pasang mata anak anak. Cahaya itu terlalu mengasyikkan dan rasa ingin terus merenungnya saban hari. Itulah cahaya cinta sejati yang aku temui sempena datangnya redup kasih Alalh disebalik sinar dibulan Muharram ini.
Ya Allah kau peliharalah kasih sayang kami. Jadikan hubungan kami utuh dan teguh keranamu hingga ke syurga. Amin.