Monday, December 17, 2012

Aman dan Tenteram



3 Safar jatuh pada hari ini Isnin yang merupakan permulaan hari dan mingguan. Alhamdulilah teringat keindahan Isnin hari yang baik untuk berpuasa. Alhamdulilah hari ini dimulai dengan penuh kebaikan sebagaimana diimpikan sejak lama dulu lagi. Hari ini 3 safar barulah menjadi kenyataan. Istiqamahnya tidak juga mudah. Semoga hari hari seterusnya dimulai dengan sebaik begini, terasa indah sekali bila seisi rumah kami bersolat subuh berjemaah bersama seawal jam 6 pagi dan seterusnya kami sama sama membaca surah Al-Waqiah. Alhamdulilah atas kurnia Allah pada usaha usaha kami yang sedikit ini.
Alhamdulilah anak anak begitu senang memberikan kerjasama, rupanya bila berjaya solat jemaah bersama untuk maghrib, Isyak, zuhur dan Asar, Inysa Allah pasti Allah permudahkan juga untuk subuh hari. Kalau inilah sebuah rasa bahagia yang hakiki, ingin aku terus memohon untuk memilikinya ya Allah. Walau aku tidak kaya, walau aku tidak punya wang berjuta, walau aku tidak dikasihi sepenuhnya oleh insan insan sekelilingku, memiliki kasih sayang dan rahmatmu adalah sebesar besar anugerah yang ingin aku naungi. Alhamdulilah anak anakku sedikit pun tidak berunggut, kami memulakan hari penuh tenang bersama, kami mulakan hari kerana Allah bersama. Ya Allah peliharalah kami semua dari segala kejahatan disekeliling kami. Hanya padamu tempat kami berlindung.
Hari ini juga bakal memulakan pembacaan berterusan yang terhenti atas banyak perkara. Hari ini sambungan selepas surah Al Kahfi akan bermula. Anak anak juga akan diingatkan nanti, selepas zuhur dan Asar mereka perlu sambung mengaji. Maghrib kami membaca yasin bersama dan Selepas Isyak kami membaca AlMulk bersama. Kalau sempat malam ini bakal ditambah satu lagi surah, iaitu surah Ar-Rahman. Aku damping anak anak dengan al Quran, aku ikat hati mereka dengan ayat ayat Quran dan sujud bersama. Aku ikat perut mereka dengan air tangan kasih sayangku sendiri dan aku mesrai kasih sayang kami penuh sentuhan kasih yang ikhlas dari hati. Aku yakin tiada orang lain yang mampu melakukannya yang terbaik selain aku yang sudah dipilih oleh Allah sebagai ibu mereka dan Suamiku dipilih Allah sebagai bapa mereka. Ya Allah panjangkan umur kami untuk terus menjalani amanah ini sebaiknya.
Kita sering tercari cari apa itu bahagia. Kita juga sering tersilap tafsir seolah olah bahagia itu ada pada orang lain, kita juga sudah banyak kali buat salah, memaksa orang lain untuk membahagiakan kita, sedang bahagia sebenarnya ada dalam hati kita. Bahagia sebenarnya akan datang bila kita yakin dan dambakan diri pada tuhan. Kerana hidup ini adalah rancangan tuhan, nyawa ini hanya pinjaman, usia ini hanya satu amanah. Orang lain disekeliling kita hanyalah takdir pertemuan buat kita, ada yang kekal dan ada juga hanya sementara, ada yang penuh kasih ada juga cemburu dan sakit hati. Maha kaya Alalh yang sudah mentadbir segalanya penuh sempurna.
Alhamdulilah bahagia semakin bersarang dhati. Allah mengurniakan bahagia yang besar buat aku anak beranak. Bila Allah didahulukan, perkara perkara lain pasti Allah akan settlekan. Alhamdulilah, aku terpilih oleh Allah merasai nikmat peluang kasih sayang dan bahagia buat kali ke dua. Tidak mengapa yang pertama dulu diduga hanya untuk memberi laluan pada kebahagiaan yang lebih bererti. Kini kami bahagia diulit iman dihati, matlamat kami hanya satu mencari redha Allah atas setiap detik waktu, kami ingin terus ebrsatu hati demi melaksanakan amanah Allah, suruhan dan bersatu menjauhi larangannya, kami ingin melihat mutiara jernih dimata anak anak mengecap erti sebenar bahagia beriman pada Allah, kami ingin melihat senyum manis anak anak berdiri dipinggir Baitullah penuh kysusuk bermunajat pada Allah, kami ingin melihat bagaimana anak anak istiqamanh berbakti pada masyarakat.
Kini semua sudah terjawab. Inilah rahsia jodoh, rezeki dan kelahiran yang sudah tersurat anatar kami. Jodoh pertemuan yang sudah tertulis oleh Allah antara aku dan Hubby, dan rahsia kelahiran 3 cahaya mata yang comel dan pintar ini, rezeki kami walau tidak melimpah ruah cukup sederhana untuk terus mengingatkan kami hidup perlu dicipta peranannya, hidup perlu diingatkan tujuannya. Sebaik baik tujuan itu ialah mengingati bahawa persinggahan sementara ini perlu dijalani dengan sederhana kerana kembalinya kita nanti pasti disoal setiap apa yang kita kerjakan dengan pinjaman umur dan nikmat Allah.
Alhamdulilah hari ini juga bagai terdorong untuk aku menghubungi ustazah pengetua IQKL, sebuah Maahad tahfiz swasta berdekatan dengan rumah kami untuk daftarkan Fayyadh. Nun disudut hati terasa, inilah tempat terbaik untuk fayyadh, kami berhabis sedikit pun tidak mengapa untuk melahirkan imam pertama keluarga kami. Aku sudah tidak mahu berpisah dengan anak anak, merekalah sahabat sejatiku merekalah keluarga terdekat buat aku, aku ingin terus berada dijarak paling dekat dengan minda dan emosi mereka. Aku ingin menjadi sebahagian persekitaran terpenting mereka. Cukuplah kalau paling jauh berjarak sekitar Taman Tun atau kelang. Insya Allah kalau Fayyadh berjaya inilah rezeki Allah untuk fayyadh. Kami sanggup berhabis demi agama, memulakan misi hidup baru lain dari apa yang kami lalui sedari kecil harus bermula hari ini. Kami patut malu pada para kerani yang gajinya jauh lebih kecil dari kami, demi agama untuk anak anak mereka terpaksa bersusah payah. Ya Allah berilah peluang rezeki yang terbaik buat Fayyadh dan anak anak kami yang lain.
Alhamdulilah berpuasa hari ini penuh nikmat, hari ini juga surah maryam sudah dimulai bacaannya, Alhamdulilah juga zikir hari ini Ya Latiff, yang maha halus Allah itu sifatnya. Mohon segala ketelitian dan kelembutan sepanjang hari ini. Petang semakin berlabuh, kini ada 1 jam lagi untuk bersiap pulang, semestinya tugas pada tuhan lebih dahulu dilaksanakan, solat Asar dan sambungan bacaan Surah Maryam. Pulang untuk sediakan ayam masak kicap untuk makan malam. Insya Allah jika ada kesempatan sebelum Solat Maghrib terlebih dahulu bacaan Surah Ar rahman akan bermula hari ini seterusnya lepas maghrib akan dibaca surah Yasin. Alhamdulilah hidup sederhana tapi bahagia amat aku damba dari Allah, rupa rupanya tidak sukar untuk mengecapinya, hanya berilah sepenuh hati, tumpuan pada Allah penuh ikhlas beribadat penuh ikhlas bertanggungjawab dengan anak anak insya Allah AMAN DAN TENTERAM menyusul ditasik hati. Anugerahilah kami kasih sayang sejati ya Allah….Amin ya rabbal Alamin