Monday, January 21, 2013

RINDU BAITULLAH mula membara




Bismillahirahmanirahim, dengan nama Allah yang maha pengasih dan penyayang, dalam kesibukan ada ketenangan dalam kekalutan masih banyak ruang tersendiri, Alhamdulilah, masih berpeluang untuk terus menulis memanjangkan jangka hayat blog ini dan menulis nukilan kenangan, harapan, pengajaran buat insan insan tersayang yang dikirim Allah menemani hidup seketika didunia yang sementara ini hingga mata terpejam.
Sedar tak sedar hari ini sudah 10 Rabiul Awal, jam menunjukan hamper 12 tengah hari, ditemani perut berirama sebagai isyarat keperluan pada pengisian penerusan tenaga. Sementara masih masih bersisa, masa ini masa terbaik untuk dicuri, menyempurnakan rasa pada sebuah tinta kasih nukilan bonda. Alhamdulilah, dengan izin Allah, dengan takdir rezekinya, hati ibu ini masih girang meraikan berita gembira bila anaknya bukan setakat berjaya meraih deretan A yang banyak, malah diberi Allah peluang melanjutkan pelajaran ditempat yang berprestige yang bakal membentuk dirinya lebih mantap lagi dunia dan akhirat. Terima kasih Allah, syukur kupanjat padamu atas kurnia besar yang begitu banyak diterima sempena tahun baru 2013. Hari ini hari kedua aku menyiapkan keperluan Kak Nana, segala sijil sijil perlu dicopy dan disahkan. Alhamdulilah kami ada jadual perlaksanaan termasuk esok hari membawanya untuk medical check up di Gombak campus sambil bertugas.
Bagaimana gembira hati orang lain, gembira lagi hati ibu ini. Tiada yang lebih baik dari harapan seorang ibu yang hanya ingin melihat anak anaknya berjaya dunia dan akhirat, hidup penuh ruang dan peluang memberi dan berbakti. Semoga urusan hidup Kak Nana dipermudahkan Allah, semoga perjuangannya diredhai, dan semoga hasil usaha dan kesabaran kami anak beranak membuahkan hasil. Sesungguhnya Allah itu maha adil, sesuatu yang lebih besar dari kelukaan sedang menunggu kami, dan sekarang kami sedang merasa sedikit percikan kegembiraan itu. Kerana rasa syukur yang tidak bertepi, kegembiraan ini sudah memberikan aku keinginan baru untuk menambah surah Assajadah sebagai bacaan disetiap pagi selain bacaan AlWaqiah..Alhamdulilah, biarlah kegembiraan kami semakin mengingatkan kami akan hakikat semua ini adalah kurniaan Allah taala.
29 January 2013, Kak Nana perlu melapurkan diri di KISAS. Aku hubungi mak dan bak dan akan membiayai kos perjalanan mereka ke Kuala Lumpur agar mereka boleh turut serta, agar Kak Nana melihat banyak harapan yang menyokong perjuangannya. Aku sedar, sepanjang tempuh aku membesarkan anak anak, mak selalu disamping aku menyokong hidup aku, biarlah mak melihat hasil jerihnya berjaga malam dan kepenatan seharian tidak pernah sia sia. Aku menangis ketika memberitahu mak berita gembira ini. Aku yakin, anak anakku berjaya bukan kerana doa doa ku saja, juga disebabkan doa doa kedua ibubapaku yang menjadi sebahagian kenangan manis dlm hidup mereka. Walau bukan semua yang mak didik dan pelihara berjaya, insya Allah aku akan pastikan anak anakku tidak mensia siakan susah payah orang orang disekelilingnya. Ya Allah kaulah tuhan yang maha mendengar dan maha melihat, semoga isi hati kami penuh keihlasan dinilai sepenuh adil olehmu, bukan oleh manusia disekeliling kami.
Esok hari Rabu, disebelah petang aku perlu menjemput Fayyadh dari Asrama di TTDI yang hanya 10 minit jaraknya dari rumah. Khamis kami sama sama akan menyambut MAULIDUR RASUL dengan cara kami sendiri. Fayyadh sudah menjadi imam solatku dari minggu pertama pengajiannya, bacaan surahnya sungguh menyentuh hati penuh kerendahan diri dan hati. Setiap kali membawanya pulang kerumah pada hari Sabtu, aku pasti memintanya membaca hafalannya, Alhamdulilah, dia menghafal satu minggu satu page, kali pertama aku mendengar bacaan hafalannya, aku tidaks edar air mata penuh dan tertumpah dengan banyaknya hingga mengaburkan pandangan pemanduanku. Ya Allah betapa besarnya pemberianmu buat kami sekeluarga. Setaip kali menemui fayyadh, aku menjadi tidak sabar, hubby juga berpeluang membetulkan bacaannya dengan fayyadh. Allahu Akbar besarnya kebahgiaanmu buat kami.
Alhamdulilah, bersedekah duit kemasjid sepanjang perjalanan ke sekolah Kak Nana sudah dibuat, Puasa Nazar 3 hari alhamdulilah semalam yang terakhirnya, kini tinggal lagi menunggu cuti raya cina untuk membuat sedikit kenduri kesyukuran. Kegembiraan ini perlu diraikan, kegembiraan ini perlu membuat banyak hati kegembira sekurang kurangnya gembira dengan sekali kenyang. Insya Allah seekor kambing akan ditumbangkan, bacaan yasin akan dialunkan seisi rumah, dan soalt hajat lebih 40 orang akan didirikan oleh tetamu tetamu kami. Ya Allah kau permudahkan usaha usaha kami .
Hati ini terus berbunga bunga, kerja kerja dipejabat dan dirumah berjalan dengan lancar, perbualan kami sekeluarga penuh mesra dan kasih sayang, tanpa diduga selepas sebuah lintasan diminda secara tidak sengaja, apa yang terlintas dimakbul tuhan, semalam, aku melihat lagi sebuah berita gembira. Pihak Univeriti membayar wang tungakan kenaikan gajiku yang 2 tahun dibekukan sekaligus, Alhamdulilah DUIT UMRAH sudah 70% dalam gengaman, Baitullah semakin jelas didepan mata. Doa untuk kebaitullah ditahun ini kubisikan pada Allah setiap kali sujud terakhirku dengan penuh yakin Allah maha mendengar dan maha menentukan. Mengginati Baitullahi hati bertambah berbunga bunga, aku sekaan betul betul dilamun cinta, cinta pada Allah dan cintakan diri, keluarga dan kecemerlangan. Ya Allah peliharalah kami , bantulah kami, permudahkan urusan kami, jayakan usaha usaha kami, tunjukan kami JALAN BENAR yang engkau redhai..Amin
Rindukan Baitullah terus bertakhta ditasik hati…Malah rindu ini KIAN MEMBARA ....sampaikan jejak kaki dan hatiku kesana ya Rabbi.