Thursday, July 4, 2013

Persiapan Ramadhan Kareem


Alhamdulilah syukur pada Allah atas segala nikmat kurniaannya, tiada sebaik baik ucapan sebagai rasa terima kasih kerana masih bernafas menikmati kehidupan, masih berpeluang membaiki kesilapan dan masih banyak ruang untuk menyediakan bekalan yang lebih baik menuju ke kampong akhirat sana. Subhana Allah maha suci Allah yang terlalu agung dan menyayangi hambanya, ruang kasih sayang yang diberikan Allah itu adakah kita menggunakan sepenuhnya atau kita hanya sia siakan saja. Moga kita terpilih sebagai insan yang dibawah peliharaannya selalu.
Syabaan sudah berada dipenghujungnya, takut takut sudah tidak ada masa , takut takut juga kematian menjemput tiba tiba, mungkin ini kali terakhir menulis untuk Syabaan bulan diberikan nikmat ibadat sebagai persediaan Ramadhan Kareem. Alhamdulilah, dua minggu ini hati sudah mengetuk ngetuk akal, mempersoalkan persiapan diri dan keluarga menjelang Ramadhan kareem. Alhamdulilah juga, seawal 20 Syabaan, hasrat di hati sudah jelas, kami hanya ingin meraih redha Allah sepanjang ramadhan ini, kami ingin merebut sebanyak banyak peluang menghambakan diri pada Allah, kami hanya ingin menjadikan bulan ini sebagai bulan Mujahadah kami. Alhamdulilah, hati kecil yang naïf ini sudah membuat keputusan, meletakan spiritual dan ibadat sebagai keutamaan, subhana Allah suami dan anak anak sangat senang dipimpin. Terima kasih Allah.
Alhamdulilah, atas keizinan dan perancangan Allah, pagi ini seawal pukul 6 surah Kahfi sudah dialunkan, memohon penjagaan sepanjang minggu dari Allah, seawall 7.50 pagi solat Dhuha sudah didirikan, memohon dipermudahkan dan dperluaskan rezeki, ya Allah hamba ini hanya meminta darimu, hamba ini masih banyak tanggungjawab yang perlu ditunaikan, hamba ini bersedia untuk mengikuti jejak jejak insan yang engkau beri petunjuk, pimpinlah aku ya Allah, Perkuatkan jiwa dan hatiku untuk menjayakan tugasan hidup ini demi keranamu. Alhamdulilah, rezeki Allah yang agung semakin ketara rasanya jatuh keriba ini, terasa kerdilnya diri sedang masih banyak bertaburan dosa ini bagai pasir di pantai. Subhana Allah, aku terpaku dan terkedu dengan nikmatmu. Alhamdulilah, entah dari mana kekuatan dan idea, kami sekeluarga begitu bahagia mengunjungi masjidmu, bahagianya hatiku ya Allah bila melihat anak dan suami berjalan menuju ke masjid, kami berjemaah, maghrib dan isyak, dan kami akan teruskan hingga selepas Ramadhan Kareem dan aku namakan ini THE JOURNEY OF LOVE.
Aku tidak mampu untuk membilang nikmatmu yang terlalu banyak ini, tidak terbilang rasanya, terlalu kerdil diri ini untuk melihat hikmah kasih sayangmu. Aku tidak layak untuk mempersoalkannya dan aku tidak layak untuk demand selebihnya kerana apa yang ada sudah lebih dari sempurna ya Allah. Idea idea penulisan semakin banyak terlahir, pertemuan demi pertemuan dengan insan hebat yang menyokong perkembangan kerjayaku, kami sudah kemas kembali bersatu dengan penuh kasih sayang, subhana Allah inilah seagung agung rezekimu buat insan kerdil ini ya Allah. Alhamdulilah, selepas tinta kasih bonda, kni langkah ingin terus mengorak maju untuk Duhai Hati dan BAHAGIA yang aku cari.
Ramadhan Kareem bakal menjelma, persoalan demi persoalan sudah mengetuk minda. Apa persiapan diri? Persiapan anak anak? Suami? Keluarga kami? Mereka adalah tanggungjawabku bakal ditanya setiap inci persoalan satu hari nanti. Solat, Quran, Zikir, Solat fardhu berjemaah, Quran target khatam sepanjang Ramadhan, sahur bersama, berbuka di masjid demi mendahulukan solat Jemaah. Mohonku pada Allah moga solat subuh pun aku sempat mengimarahkan masjid. Segala aktiviti malam di luar dibatalkan. Hidup ini ada tujuan, dan sebaik baik tujuan ialah tujuan yang sejajar dengan tujuan kita diciptakan. List perancangan Ramadhan sudah kemas tercatat di telefon, Cuma list menu berbuka yang simple belum dibuat, pakaian anak anak akan dibeli hujung minggu ini, agar tidak menganggu ibadat puasa. Kami tidak akan mengunjungi ruang ruang begitu kerana sayangkan masa setiap jam, minit dan saat yang mencukupkan bilangan 30 hari sebulan dibulan Ramadhan Kareem.

Ya Allah Permudahkan hasrat dan impian kami untuk Ramadhan kareem..Amin