Wednesday, July 31, 2013

Ruh FITRAH



Alhamdulilah syukur pada Allah tuhan yang maha pengasih dan penyayang. Dengan namamu ya Allah, aku meneruskan coretan hati, luahan rasa dan lakaran minda ini. Alhamdulilah, hari ini aku masih diberikan Allah peluang untuk terus berjuang menghidupkan RUH FITRAH dalam diri dan sekaligus mengingatkan betapa kayanya sang pencipta dengan segala keindahan, segala nikmat dan kekayaannya. Subhana Allah segalanya tidak mampu diucapkan semua dengan kata kata. Semakin ditenung dan direnung, semakin terasa kerdilnya diri ini, semakin dihayati semakin terasa terlalu sedikit apa yang dibalas berbanding nikmat yang sudah diambil.
Alhamdulilah, syukur pada Allah akhirnya hari ini 22 Ramadhan Kareem aku kembali berpeluang menulis disini. Malam ini sudah masuk Ramadhan Kareem ke 23, betapa cepatnya masa berlalu, hati bagai TERUSIK PILU dengan pengunduran Ramadhan Kareem yang terasa semakin laju. Ramadhan Kareem bakal pergi, sedih rasa dihati, tertanya tanya pada diri, apakah masih ada Ramadhan Kareem buatku 11 bulan lagi. Kalaulah aku diberikan PELUANG EMAS dari Allah lagi, aku ingin terus mengimarahkannya dengan lebih baik lagi. Aku berharap, 11 bulan yang akan datang, aku masih mengekalkan cirri ciri pengajaran Ramadhan Kareem yang TERKESAN di hati, antaranya, puasa Isnin Khamis, Solat berjemaah di Masjid, berzikir siang dan malam, berqiyamulail, dengan penghayatan Quran dan surah surah amalan. Udara di sekeliling bagai terasa segar dan nyaman dengan penghayatan ini. Alangkah ruginya kalau AURA Ramadhan Kareem dilupakan begitu saja, atau keuntungan yang dipungut sepanjang bulan, dimufliskan dengan sehari GAYA BERHARI RAYA.
Alhamdulilah, sekian lama aku menanti, sekian lama aku tertunggu, sekian lama aku berusaha, mencari ikhtiyar bagaimana melawan kepenatan, bagaimana melawan mengantuk, bagaimana mengenepikan nikmat tidur, berlibur dan makan makanan yang sedap sedap. Yang pada dasarnya, aku mencari bagaimana menjadikan bangkit di awal pagi seawall jam 4 pagi satu budaya. Bagaimana?. Rahsianya ada pada bulan Ramadhan Kareem. Semalam Allah penuhi permintaanku. Alhamdulilah. Dalam kebingungan, sudah 20 Ramadhan, sekalipun aku belum berpeluang, mengapa aku tidak berpeluang?. Ketika solat Isyak dan terawikh semalam, aku berbisik pada Allah ketika bersujud. “Ya Allah izinkan aku bangun untuk solat malam kepadamu, pilihlah aku Ya Allah, hati terlalu teringin, namun bukan mudah untukku tanpa IZINMU YA RABBI”. Aku pisahkan keselesaan yang biasa dinikmati ketika tidur, tidur hanya beralaskan sejadah, berbantalkan lengan dan Quran di tangan, sambil berdoa sebelum tidur seperti biasa dan membaca Quran sehingga kelopak mata terasa sangat berat. Alhamdulilah tepat jam 4.00 pagi aku dibangkitkan dengan penuh rasa segar. Siapalah aku tanpa IZINMU, siapalah aku tanpa REDHAMU, siapalah aku untuk berusaha tanpa MENYERAH PADAMU. Alhamdulilah terima kasih Allah.
Alhamdulilah, aku mampu merasai DINAHARI YANG INDAH, segar penuh rasa disayangi dan dicintai. Terasa dekat dengan Allah, terasa takjub, terasa gerun, terasa kerdil, rasa yang bercampur baur dengan KECINTAAN INDAH. Subhana Allah nikmatnya kecintaanmu. Aku yang sebenarnya, insan naïf yang dipilih Allah, diberinya upaya, diberinya rasa segar, diberinya bahagia, dengan penuh syukur kuusap wajah anugerahmu ini dengan air yang dingin penuh nikmat dan KESEGARAN BERTAMBAH. Dengan suara bergetar, kudirikan SOLAT TAUBAT, SOLAT TAHAJJUD dan SOLAT HAJAT, memohon ampun darimu ya Allah. Betapa tidak sempuranya aku, betapa kurangnya aku, betapa lemahnya aku, betapa sombongnya aku, betapa bodohnya aku. dalam hajatku, kutitip BISIKAN HATI padamu, antaranya ampunkan dosaku, dosa anak anakku, dosa suamiku, dosa adik adikku, dosa keluargaku, kaum kerabatku, sahabat sahabatku dan seluruh umat Islam di muka bumi ini. Kutitip BISIKAN KALBU, pulihkanlah SILATURAHIM kami sekelurga, Kurniakan Kejayaan dalam perjuangan dunia dan akhirat buat anak anakku, anugerahkan rezeki yang berlipatganda buatku. Kutitip LUAHAN RASA, bukankan hati kedua orang tuaku pada KEIMANAN SEJATI, permudahkan usaha cita cita dan perjuanganku, Berikan aku CAHAYA IMANMU. IMAN yang paling benar akan menjaga aku, bukan diri,bukan kuasa, bukan akal apalagi rasa, bukan juga orang. Aku yakin Allah maha mendengar dan maha mengetahui, dan aku yakin takdir Allah untukku adalah perancangannya yang PALING SEMPURNA. Aku juga percaya, atas segala MUSIBAH akan bertukar HADIAH dari Allah.

Alhamdulilah, aku merasai nikmat semuanya itu hari ini dengan izin Allah. Aku ingin merasainya lagi, malah aku ingin membudayakannya. Usaha usaha ini menerbitkan rasa TENANG SEJATI, bila tenang, kita lebih menjadi diri sendiri malah kita lebih sedar diri, bila tenang juga tenaga diri bagai melimpah ruah, daya fokus menjadi mantap dan mampu menghasilkan buah fikiran yang tajam. Tidak hairan, kalau tidak memberatkan ummat, nabi meminta Allah mewajibkan SOLAT MALAM. Subhana Allah terlalu banyak RAHSIA INDAHMU. Ramadhan Kareem kali ini betul betul berbeza, merubah minda dan rasa, menajamkan akal dan idea, moga Allah memilihara diriku dan memilihku untuk terus menerima ANUGERAH BESARNYA …anugerah untuk kembalikan RUH FITRAH. Amin.

Wednesday, July 24, 2013

Tetamu AGUNG Ramadhan Kareem



Alhamdulilah,syukur ke hadrat Allah atas nafas yang masih bersisa ini. Atas rasa syukur ini, aku berjanji, setiap nafas yang bersisa ini tidak akan aku sia siakan. Atas nikmat nikmat Allah yang aku terima, tidak akan aku memilih untuk semkain jauh dari Allah, atas setiap dugaan dan ujian akan bertukar menjadi wadah kasih dari Allah buat insan kerdil yang bernama Asniza ini. Alhamdulilah, hari Khamis yang indah ini penuh bunga bunga di hati, penuh tenang danw angi..Subhana Allah dalam waktu waktu keuzuran begini aku masih dipilih untuk menikmati TENANG dan TENTERAM. Dalam kekalutan dengan dugaan kesihatan dan kesihatan anak, aku masih TERSENYUM BAHAGIA. Maha suci Allah yang melihat setiap perbuatan hambanya, menilai dengan sebenar benarnya. Semoga Allah terus menjaga gerak geriku. Amin.
Alhamdulilah, khamis yang tenang dan banyak peluang buat diri. Allah menganugerahkan aku, tenang yang berganda dengan senyuman dan kemesraan Boss mdm Khairani, ditambahkan lagi peluang hadir ke taman syurganya iaitu majlis ilmu agama sempena Nuzul Quran buat kami staff uia. Ustaz yang begitu bersahaja menyampaikan mesej untuk perubahan diri, menusuk ke hati dan mengenakan batang hidung sesiapa saja dan inilah kekuatan buat kami termasuk aku untuk melihat pada diri sendiri. Subhana Allah maha sempurna sifatmu melindungi dan memberikan menafaat buat aku. Ramadhan bagai TETAMU AGUNG. Bagaimana aku menyambut tetamu agung, persoalan ini bermain main di kepala sepanjang gerak kaki menuju ke pejabat untuk menyambung kerja. Ya Allah berikanlah aku peluang untuk menyempurnakan segala yang aku senaraikan. Malam ini bermula 17 Ramadhan, aku ingin terus berdoa agar bermula petang ini keuzuranku berakhir. In Sha Allah.
Malam ini bermula fasa kedua usahaku sebagai menyambut TETAMU AGUNG Ramadhan Kareem. Allah merihatkan aku seketika, 7 hari yang pasti berganti seawal bulan Syawal untuk merebut Puasa Sunat Syawal. In sha Allah kerihatan ini seakan mengumpulkan banyak tenaga buat aku bersama KERINDUAN di lubuk hati. Rindu untuk terus bersujud, rindu untuk mengalunkan bicara Allah dalam Al Quran siang dan malam hari, Rindu untuk bersama aura aura spiritual dan minda yang mantap dan positif di Masjid. Rindu serindu rindunya, hanya Allah yang mengerti. Sepanjang keuzuran ini, aku hanya makan bila perlu dan sekadar tidak lapar dan sakit masuk angin. Waktu berbuka, aku masih duduk menikmati waktu berbuka sambil menemani hubby dan Harraz. Cuma bezanya, semenjak keuzuran, sukar untuk bangun membantu mereka bersahur.
Malam akan bermula lagi dengan izin dan pilihan Allah. Solat wajib diiringi solat sunat Awabin dan Tahayatul Masjid, Solat sunat terawikh dan Witir. Sebelum solat Isyak, bacaan Al Mulk dan sebelum tidur dengan bacaan Manzil. Bermula esok pagi jadul jam akan bertukar, dari 4.30 pagi ke 4 pagi. Bangun untuk solat Qiyamulail sebelum menyediakan sarapan sahur buat keluarga. Sambil mengaji sambil menunggu makanan masak dan bersahur bersama. Agenda bersambung selepas sahur dengan Tadaruss Quran dan  Al Waqiah. Boleh rehat seketika sebelum Bacaan Mathurat dan Solat Dhuha bersama Surah Assajadah. Bermula malam ini juga, aku menetapkan untuk bersedekah di masjid Allah sebanyak RM 50 semalaman. Biarlah ini menjadi usaha usaha tertutup aku, biarlah hanya Allah yang tahu. Bermula masjid Assyakirin, Masjid Taqwa, Masjid Ghufran, Masjid Mutiara, Masjid Kuning, Masjid Falah, Masjid Mujahiddin atau mana mana masjid yang aku berpeluang singgah sempena Ramadhan ini. In Sha Allah, moga Allah permudahkan niat ini, moga Allah membuka jalan dan peluang kerana yang menentukan hanya Allah yang esa, bukan aku bukan juga orang orang sekelilingku.
Alhamdulilah, khamis dianugerahkan bahagia berganda bukan setakat pertambahan ilmu, malah terasa betapa besar kasih sayang Allah kerana hari ini kami sekeluarga akan bersatu. Hari ini Kak Nana Balik, hari ini anak yang sangat dirindui ini balik, hari ini hari bahagia buat semua terutama anak yang berjuang ini. Kegembiraan ini perlu disokong, diraikan semoga imarah kasih sayang kami kerana Allah berganda ganda di masa akan datang. Hari ini tangan yang akan bergeark dari pangkal hati yang penuh cinta pada Allah dan keluarga ini akan memulakan kerja masak memasak buat semua kami. Ketam goreng bercili, reheat bubur kacang dan ditambah durian, laksa lemak kegemaran semua dan ayam goreng biasa. Sederhana tak mengapa asal sedap dan cukup rasa, sedap itu kerana ianya bakal menyatukan kami lagi setelah sekian lama kami terpisah di sana sini lantaran goncangan dugaan badai kehidupan perkahwinan. Yang memulihkannya semula juga Allah, bila kita mencari Allah, menyedari kebesaran Allah, menyakini sepenuh hati, bermohon tidak putus putus, sabar dan positif dengan Allah, insya Allah, hasilnya pasti KELIHATAN , malah TERASA BAGAI OMBAK BESAR.
Bagaimana harus aku nafikan semua ini, bagaimana harus aku diam untuk tidak terus enulis dan mengucapkan ALHAMDULILAH. Aku begitu tenang dan yakin dengan perancangan Allah, Subhana Allah senyumanku kini bersambung sambung, kerut kening di dahi sudah tidak kelihatan lagi, aku terasa bagai ada DAKAPAN INDAH mengganti dakapan manusia yang aku sudah kehilangannya. Semoga kami terus disayangi Allah, dilindungi, dipilih untuk menerima REDHA ALLAH. Ya Allah aku terus bersujud mengakui keagungan dan kebesaranmu, terima kasih Allah, Izinkan aku, anak anakku, suamiku, keluargaku, sahabat sahabatku dans eluruh umat Islam di muka bumi ini berpeluang menikmati JEJAK JEJAK CINTAMU. Allah hu Akbar.




Sunday, July 21, 2013

BAHAGIA yang aku cari.



Alhamdulilah, terasa lebih sihat hari ini walau semalam seharian sakit kepala dan walau semalam terpaksa menelan sebiji ponstant untuk menahan sakit dan meneruskan aktiviti dengan adik adik dan keluarga. Alhamdulilah, hari ini semakin banyak kerja yang mampu dilakukan di pejabat, dan seperti biasa bersambung petang dengan kerja kerja rumah yang sedang menanti namun aku rasa bahagia, bahagia kerana kerja kerja ini menjadikan kayu ukur kebaktianku saban hari pada diri sendiri, pada anak anak dan keluarga dan yang pealing penting pada Allah yang maha esa.
Semalam hari yang indah buat aku, antara hari hari yang indah yang lain lain, syukur pada Allah, aku diberikan satu rasa untuk melakukan kebaikan, untuk memulakan kemeriahan sebuah hubungan. Walau kami tinggal berdekatan, kami jarang bersua lantaran sibuk dengan urusan masing masing. Menjelang minggu kedua Ramadhan Kareem, hati ini berkali kali diketuk sebuah keinginan, keinginan berkumpul bersama adik adik tersayang, Acik, Papa Zam, Adik, Papa Radzi dan anak anak saudara kami. Entah mengapa, sedari pagi aku bersemangat, dalam pening pening kepala, aku bergagah ke pasar membeli barang barang. Alhamdulilah langsung tidak merasa sukar menyediakan juadah juadah, malah hubby sungguh berkerjasama. Seketika aku bersandar berihat sambil menunggu adik adik datang, entah mengapa hati ini tersentuh, mahu aku jerit pada seluruh dunia betapa aku sayangkan mereka, dan betapa aku bahagia memiliki mereka. Seketika itu juga aku terkenangkan wahida yang sedang berjuang dan banyak ketinggalan untuk menyertai kami. Tiada siapa yang sedar, aku berkali kali mengesat air mata sendiri. Aku bisik pada hatiku, biarlah segalanya hanya Allah yang tahu, rasa rindu, rasa sayang, rasa simpati ini hanya Allah yang nilaikan.
Kemeriahan yang aku rindui terubat semalam, kami rancak makan, rancak berbual, dan hati aku tersentuh melihat barisan saf lelaki mendirikan solat maghrib bersama diimamkan hubby. Ya Allah kau satukan kami dengan kasih sayang yang kau redhai, kau peliharalah kami, kau tambahkan rezeki kami. Lama kami berbual, ketawa ketawa sambil makan makan. Aku mendengar setiap runggutan adik adikku malah aku faham apa yang mereka rasakan. Aku yakin kesatuan ini mampu menghasilkan sesuatu yang lebih bermakna. Semalam, kali pertama dalam hidup datang sebuah keyakinan dalam hati aku, aku, acik dan adik boleh menerajui Café Air tangan Bonda. Kami akan mulakan dengan bazaar atau hari terbuka university. Adik menjual, aku dan acik menyediakan, hubby hubby kami bakal menghantar atau membeli apa apa yang tidak cukup. Ya Allah kau jayakanlah. Duit untung akan ditabungkan dan dibahagikan sama rata setelah menolak semua kos modal. Pertama kali aku terasa ada satu perasaan indah, ada satu perasaan benar sebagaimana yang dikatakan Sawiah dan Sabariah.
Jam 10 malam, mereka beransur pulang, setiap seorang aku hadiahkan sekuntum Ros merah segar, aku bahagia melihat betapa adik adikku begitu menghormati Hubby dan aku. Aku terasa untuk berpindah ke rumah yang lebih selesa yang mungkin berswimming pool yang memeriahkan lagi perjumpaan kami. Satu nilai yang jelas pada aku, aku suka raikan orang makan, datang rumah, berbual perkara kebaikan dan bersatu penuh keikhlasan dan kami bakal menggegarkan dunia dengan kebersamaan dan kesebatian kasih sayang kami. In sha Allah moga Allah memudahkan jalan dan laluannya.
Sunyi seketika bila adik adik pulang, melihat sekeliling, banyak kerja kerja yang perlu dilangsaikan sebelum merebahkan kepala pada bantal untuk mengumpul sedikit tenaga bekalan hari esok. Sambil melakukan kerja kerja rumah, aku suarakan pada hubby, “ saya ada dua request dari dua org bekas pelajar yang rapat untuk berbuka puasa, Am dan Aziz, mereka request nasi lemak ikan Aya.” Senyum hubbyku. In sha Allah aku juga akan panggil Ramadhan, Haziq dan Husaini. Mereka mereka ini terasa dekat dengan aku dan mereka walau apa keadaan pasti menyokong aku. Kita mungkin tidak akan mendapat sokongan semua orang, tapi sudah memadai memilik sekumpulan yang mengenali kita dan terus menyokong kita sampai bila bila. Mereka mereka ini perlu dihargai, melihat mereka sebenarnya bagai melihat harapan dan impian sendiri. Aku bersyukur ya Allah.
Alhamdulilah, kisah hidup kita ada jalannya tersendiri, padaku semuanya berkisar pada bagaimana Allah memilih aku untuk lebih hampir padanya. Bagaimana Allah perlahan lahan memisahkan aku dari kerugian, bagaimana Allah menemukan aku dengan keberuntungan. Alhamdulilah, kita tidak selamanya naïf, kita tidak selamanya diperalatkan orang. Sebesar besar syukur, Allah memilih kita untuk ruang iman dan kejayaan satu demi satu. Aku tidak pernah kesal apa yang terjadi, malah yakin pasti ada HIKMAH TERSENDIRI. Mohonku pada Allah untuk terus stay in PATIENCE, POSITIVE and PEACE, hidup ini ada misi tersendiri, in sha Allah 3 elements ini sudah cukup menjadikan aku tidak jauh tersasar lagi. Amin. Ini antara BAHAGIA yang aku cari.