Tuesday, September 11, 2012

Arah KEREDHAAN



Alhamdulilah jam sudah 3.15pm, berjuang dan terus berjuang ada lagi 4 jam untuk waktu berbuka puasa. Hari ini bermula puasa syawal ke 2 selepas direhatkan seketika oleh Allah secara Syarie. Inilah hikmahnya sungguh hebat tidak terjangkau dek akal kita. Sudah puas dalam tempuh seketika itu menikmati juadah juadah syawal sana sini termasuk jamuan raya yang dikendalikan adinda tersayang Linda pada hari sabtu yang lepas.
Puasa hari ini selain sebab Syawal, juga kerana hari ini hari pertama fayyadh menghadapi UPSR, doa org berpuasa dimakbul Allah segera dan orang berpuasa sangat dekat dengan Allah. Semoga semua ini menjadi ikhtiyar terbaik buat anakku Fayyadh. Sedari pagi, air mata ini bagai dekat dengan kelopak mata, bila aku mengalunkan yasin pagi ini, suara aku tersekat sekat, tergambar segala kekurang kekurangan diri ini sebagai ibu yang sempurna, tergambar bagaimana fayyadh diusia itu juga melalui tempoh tempoh terumbang ambing lantaran geraha cinta rumahtangga kami. Aku pilu mengenangi semua itu untuk Fayyadh, menghantar fayyadh kekampung seketika dikala hati ibu ini sudah STUCK diharap menjadi satu langkah yang baik walau aku melakukannya dengan terpaksa dan separuh rela. Bila kita sering meminta, Ya Allah awasilah gerak geriku, insya Allah ilham ilham kebaikan sering datang. Alhamdulilah hasilnya fayyadh seorang anak lelaki yang cekal, bersopan, spiritualnya mantap, truthful, kind heart. Moga Allah terus mendengar doa doa ini buat fayyadh.
Ahad malam, hati aku murung kerana rindukan wahida. Bagai ternampak Nampak dimata ini air mata wahida. Merah matanya, jernih manic manic putih mengalir dipipidan terasa begitu kemas pelukannya tanda rindu yang sarat pada aku mamanya. Aku juga sangat rindukan dia, aku tahu dia sedang berjuang. Aku sapu air matanya sambil berkata, inilah pengorbanan diperingat awal kak, banyak benda kita missed, inilah cabaran istiqamah kakak. Mama ada disini berdoa untuk kakak dan adik adik. Tuhan saja yang tahu betapa aku ingin lama lagi berbual dengan anakku, apakan daya bila bak dan mak kena segera balik untuk meneruskan perjalanan yang jauh ke Terengganu. Sabtu nanti, aku dan hubby akan kembali ke sekolah untuk menjemput kakak pulang.
Hari ini aku dan hubby mulakan hari dengan solat subuh dan solat Hajat buat fayyadh. Bila sampai dipejabat, aku terus kemasjid selepas punch in. Kesempatan untuk makan pagi aku tukarkan dengan ibadat, apa lagi sebab aku berpuasa. Masuk saja masjid, aku terus solat tahayatul Masjid dan mengeluarkan nota kecil bekalan cara cara menghadapi bantuan anak anak peperiksaan. Fatihah 10 kali 3 Qul 1 kali, Al Insyirah 100 kali Yasin 1 kali dan doa khas buat fayyadh. Moga Allah mengirimkan semangatku menemaninya, semoga Allah menjadikan peperiksaan itu mudah untuknya. Dan dia mampu menjawab dengan tenang. Jam 2 .30 petang tadi, aku sudah mendengar suaranya. Alhamdulilah suaranya girang, memang susah katanya tapi fayyadh boleh buat. Esok dan Lusa ada dua hari lagi berjuang, aku akan teruskan doa doa khas buat fayyadh dan bulan 10 nanti buat wahida. Biarlah anak anak faham mengapa perlu berjaya dalam hidup, dan biarlah dari sekarang mereka mempelajari sesuatu KEAJAIBAN itu ada ditangan Allah. Doa dan tawakkal sebaik baik usaha terakhir mengiringi usaha usaha diri yang termampu.
Insya Allah malam ini agenda kemasjid dengan hubby. Aku perlu sediakan Roti goreng dan teh o panas untuk berbuka dn kami akan menunggu waktu berbuka dimasjid. Balik solat isyak barulah aku menyiapkan nasi goreng untuk makan berdua. Sudah lama tidak ke masjid malam hari, kali terakhir solat terawikh terakhir. Rasanya kalau tak pergi tiap tiap malam pun sekurang kurangnya 2 kali weekdays dan all weekend. Ke masjid sebenarnya tidak akan bertambah penat, sebaliknya pasti segar sekembali dari masjid sebab kita sudah merehatkan jiwa dan ruh dengan ibadat. Kita sudah memberikan makan Ruh dan jiwa sebagaimana sepatutnya. Semoga Allah mempermudahkan usaha usaha kecil malam ini.
Minggu ini dan minggu depan agak sibuk waktu pejabat. Alhamdulilah segala kehidupan berjalan lancer. Aku sudah betul betul sihat dan teratur. Diluar waktu pejabat aku tidak bawa cerita dan hal hal pejabat. Waktu yang terluang, lebih lebih lagi bila hubby tiada di rumah, aku layan kes kes yang diperdengarkan kawan kawan. Sekadar menolong dan hati aku terasa bahagia. Tiada manusia yang sangat sempurna tapi aku terharu kerana masih ada kawan yang terus menganggap aku sahabat baik dunia akhirat, yang percayakan aku untuk diperdengarkan cerita peribadinya, hati aku terkesan dengan pelbagai kisah, dan aku diperlihatkan bagaimana besarnya takdir Allah atas sesuatu perkara apa lagi rezeki kehidupan pada manusia. Semoga semua ini menjadi sebahagian ilmu ilmu Allah yang akan ditimba untuk peranacangan ilmu dimasa akan datang. Kita tidak pernah tahu bila rezeki Allah tiba tiba bergolek. Sekejap tadi sms dari yati mengajak aku ke Lumut menemaninya, semua kos ditanggung. Apakan daya, waktu pejabat agak mustahil kerana projek besar sedang berjalan dan banyak kerja tgh progress. Aku janji dengan Yati, plan ke mana mana berdua elok elok then aku boleh ambik cuti atau any weekend tak kisah Singapore, Bangkok atau Chiang Mai.
Hati yang baik ialah hati yang bahagia. Hanya hati yang bahagia mampu membahagiakan. Bila hati kita sakit carilah penawarnya dan sebaik baik penawar hati dan jiwa hanya ada pada Allah. Tidak pernah ada istilah terlambat, setiap orang dijanjikan ruang berbeza kerana Allah yang lebih memhami kita kerana dia yang menciptakan kita dengan sebaik baik kejadian. Semoga nafas ini terus terhembus keluar masuk dari ronga paru paru dengan penuh rasa syukur, semoga tangan tangan ini lebih laju melakukan kerja kerja yang mendatangkan pahala dan kebaikan, semoga minda ini ligat berfikir untuk terus mencari ruang pertolongan yang diperlukan dan harus diberikan, semoga usaha usaha yang dibuat dinilai tinggi oleh Allah walau tiada manusia mengetahuinya jauh sekali dengan puji pujian malah seringkali juga terengar sini sindiran dan umpat keji. Bila kita hanya perlukan Allah, benda benda lain sudah tidak penting lagi.
Ya Allah hambamu ini terus bermohon….peliharalah gerak geriku au lebih terarah pada KEREDHAANMU. Amin.

Friday, September 7, 2012

Titipan Bahagia Syawal



Syawal ke 20 bermakna sudah 20 hari meninggalkan syahdunya Ramadhan. Masih meriah disana sini jamuan makan sempena hari raya, hari ini saja ada dua tempat dan aku hanya larat pergi satu tempat saja. Ada 9 hari lagi untuk berada dibulan Syawal, dan aku perlukan paling lama 3 hari untuk keuzuran syarie yang tidak mengizinkan aku meneruskan nikmat puasa syawal setelah selesai 5 hari puasa ganti. Alhamdulilah sudah berlalu sehari syawal walau dalam kesihatan yang agak runcing sekembali dari Fraser Hill dan insya Allah ada lagi 5 hari dengan izin tuhan kalau itu sudah menjadi takdir rezeki buat aku, pasti akan berjaya aku menikmatinya.
Tubuh badan terasa lain bila jauh dari peluang beribadat, muka terasa lain bila tidak berwuduk sekurang kurangnya 5 kali sehari, hari terasa lain tanpa mengelek alQuran sepanjang hari. Waktu waktu begini seakan KEREHATAN semulajadi yang diberi Allah, kalau dulu begitu suka dan lagi lama lagi gembira, tapi sekarang, aku pasti menitipkan doa, Ya Allah pendekkan tempoh uzurku ini kerana TERASA KEGERSANGAN jiwa tanpa titipan nikmat ibadat. Alhamdulilah hati dan bibir terus melafaz zikir mengingati kehebatan nama nama Allah dan zikir amalan Imam AlGhazali. Hati ini rindu pada bacaan surah AlKahfi kerana hari ini hari Jumaat yang sering dinanti untuk bacaan Surah Al Kahfi.
Minggu yang agak sibuk, tapi tenang. Berhati hati menyusun pengisian, yang pasti orang yang memerlukan diutamakan. Hingga hari ini pengeposan Iope tertangguh dan hanya boleh dibuat besok, insya Allah bolehlah breakfast mkn sushi dgn Harraz. 3 Malam berturut turut, ada pejumpaan panjang, ada perluahan jiwa dari insan yang pernah buat aku rasa bahagia. Alhamdulilah, aku puas hati dapat menjadi seseorang disisi mereka, seseorang yang istimewa bila suatu rahsia besar hanya dikongsikan dengan aku. Sepnuh tenaga aku kumpul untuk menghadirkan jiwa, hati dan kasih sayang. Sedaya upaya aku berputar ligat berfikri dan melihat apa ruang disebalik kemelut yang dihadapi. Pantas aku mengingati pakar pakar lain yang boleh dirujuk. Alhamdulilah, setakat yang terdaya aku berpuas hati, namun diperjalanan pulang dan setiap kali aku teringat, doa khas aku kirimkan buat mereka agar dibantu Allah dengan penuh hikmah dan dapat dikesan dan diganti keimanan dihati. Ya Allah hanya kau tempat kami mengadu kerana sebaik baik penentu buat kami hanyalah takdirmu.
Dalam kesibukan ini juga rasa gembira melihat perkembangan hubby dan bersama itu aku melihat bagaimana cina dan kasih kami kembali ditempatnya malah kali ini kedudukannya lagi mantap dari dulu. Hanya kami yang merasa dan hanya kami yang memahaminya. Gembira melihat bagaimana hubby bergaul dengan kwn kwn training. Gembira melihat hubby bekerjasama dan menyumbang. Gembira melihat hubby belajar menilai kerja kerja khidmat orang orang seperti kami yang mengendalikan makmal manusia. Alhamdulilah segalanya Allah aturkan semakin senang dan membahagiakan.
Semalam episode terakhir meeting minggu ini. Sehingga pagi aku tidak mampu lelapkan mata. Terlalu banyak harapan yang tergambar diminda dan terlalu bahagia mengalir ditasik hati serasa sejuk apalagi bila dengan perlahan aku lafazkan zikir Alhamdulilah berkali kali. Pertemuan dengan Aziz seakan Allah mengabulkan doakku. Aku melihat potensi Aziz dan aku melihat bagaimana keluh kesahnya dia menjalani apa yang dia ada sekarang. Aku dapat rasakan bagaimana banyaknya tenaga dan idea diminda Aziz. Aku ingin melihat dia maju lebih dari apa yang dimilki sekarang dan aku terasa sayang dengan potensi yang dimilikinya. Alhamdulilah kami berbincang untuk berpadu tenaga, kami saling memerlukan, dia melihat aku bagai keluarga sendiri. Alhamdulilah pintu rezeki semakin terbuka walau ada ruang lain yang cuba di sekat manusia. Bukan manusia yang memberikan kita redha dan rezeki tapi Allah. Usah risau kalau dipinggirkan, usah sedih jika diketepikan, aku kuatkan hati membentang rasa redha didada, dan redha kita mendatangkan redha Allah pada kita kembali. Satu persatu peluang datang, dan yang perlu ialah tindakan seterusnya dan usaha yang berterusan.
Kembali dirumah aku mencari bumbung tinggi dalam minda. Syiling yang ingin aku adakan, syiling yang ingin aku komposekan yang berlandaskan kesucian islam dan keindahan Iman. Segala aktiviti akan aku sandarkan pada syiling itu, kalau berbentuk menyokong, aku pasti akan melakukannya. Alhamdulilah, hari ini walau agak mengantuk, Allah permudahkan kerja kerjaku. Allah melembutkan hati aku untuk terus memberi maaf dan menerima seadanya kekurangan orang lain walau hati sendiri begitu sadis dikhianati. Biarlah dia berurusan dengan Alalh bukan dengan aku. Aku tidak mengheret apa apa luggage yang berat kehulu kehilir. Semuanya ringan dan kepala bersedia untuk menerima proses apa saja dan walau dimana saja. Mengurangi benda yang tidak wajar akan memberikan lebih ruang pada yang lebih berhak untuk difikirkan.
Alhamdulilah, aku panjatkan syukur pada Allah. Tiada kata yang mampu aku gambarkan untuk memperlihatkan bagaimana indahnya nikmat hidup yang diatur untuk mencari keimanan dan taqwa. Ya Allah peliharalah diriku dan keluargaku, insan disekelilingku, umat umat Islam yang teranaiya. Cekalkan hati kami dengan kasih sayangmu. Nampakkan pada kami nikmat kehidupan akhirat mu adalah pilihan kami. Dunia ini semuanya sementara. Tiada apa yang kekal dan tiada apa yang mampu dibawa bersama untuk dipertaruhkan dihadapan Rabbi yang Esa.

Sunday, August 26, 2012

Syukur SYAWAL




Alhamdulilah limpah rahmat Allah masih bersisa. Hanya padanya kupanjatkan doa dan harapan kearna hanya Allah yang maha mendengar dan maha memahami makhluk yang diciptakannya. Hari ini sudah 9 Syawal, syawal yang hadir penuh kesyukuran dan aku menyambutnya dipagi hari yang hening penuh deraian air mata sambil bertakbir dan bertahmid..Allah hu Akbar Allahu akbar Allah hu Akbar wallilah Ilhamd.
Alhamdulilah pagi 9 Syawal ini menjadi pagi ke 3 aku berpuasa ganti. Pagi ini juga sedikit kerja sudah dibuat, dan sebelum menyambung kerja yang lebih berat, aku mencuri sedikit waktu untuk menyiapkan penulisan ini. Sempena tulisan pertama bulan Syawal, sempena kesyukuran atas sebuah kemenangan, kerana sambutan hari raya kami kali ini penuh sederhana dan syukur, aku namakan penulisan kali ini SYUKUR SYAWAL.
Alhamdulilah, sehari menjelang raya, aku tamat bacaan Quran dan makna, 10 malam terakhir, aku berjaya memeriahkan masjid dengan 20 rakaat solat terawikh, dalam berjaya juga bangun disepertiga malam untuk qiyam. Alhamdulilah rezeki Allah paling bermakna ialah peluang spiritual yang sedia ada dlm ibadat dan kehidupan. Allah sudah meneydiakan buat hambanya jalan yang lurus yang diredhainya, Cuma hamba Allah saja yang kadang kadang lupa dan berkecenderungan untuk menzalimi diri sendiri.
Mengimbau kembali hari terakhir kami berpuasa, Alhamdulilah aku langsung tidak merasa penat malah sangat bertenaga tetapi agak sedih dihati, sedih kerana terfikir, apakah aku masih diberi peluang untuk meraikan Ramdhan lagi ditahun akan datang, sedih bila memikirkan mungkin ini Ramadhan yang terakhir, apakah semua amalanku diterima Allah, apakah sudah begitu sempurna , aku merasa masih banyak yang perlu diperbaiki dan dipergandakan. Dengan tenaga yang kuat itu, aku panjangkan tangan membantu kerja kerja dapur, selesai satu satu kerja aku break dengan solat dhuha. Solat zuhir dengan zikir dan bacaan quran dan akhir sekali solat asar. Hari itu juga kami berkumpul memriahkan dapur bonda dengan persiapan juadah aidil fitri. Setiap waktu yang terluang, aku ungkapkan tata cara meyambut aidil fitri pada anak anak yang turut sama sibuk membantu kami, dan dihujung hujung petang aku membuat simple kuiz tentang apa yang mereka perlu buat sehari dihari raya mengikut amalan rasul Allah.
Alhamdulilah nikmat syukur syawal terasa pada malamnya lagi. Aku sempat berzikir dan bertakbir selepas solat maghrib dan terus membantu bonda, sebelah malamnya, sebelum anak anak tidur, sekali lagi aku mengingatkan mereka tata cara berhari raya. Hening pagi raya, aku tidak dapat tidur lena, aku yang pertama bangkit dan membangkitkan bonda yang setia ghairah dengan kerja kerja dapurnya. Aku sempat menunaikan solat sunat dan bertakbir dan aku terlelap sekejap selepas subuh. Terasa indah dipagi raya, suara bonda sibuk didapur, suara anak anak bersegera untuk mandi. Dalam adab yang diajar, kami perlu menjamah makanan pagi sebagai tanda hari itu kami tidak boleh berpuasa dan tidak perlu berlapar lagi. Ruang makan bonda penuh dengan anak cucu dan menantu menikmati hidangan pagi syawal sebagai persiapan perut dan minda untuk ke masjid.
Alhamdulilah, kami kemasjid 2 buah kereta. Aku sempat berada di saf paling depan kerana kami sampai awal. Bermula dari solat Tahayatul masjid kami berzikir dan bertakbir hinggalah khutbah raya yang sangat meneyentuh hati dan jiwa kami. Air mata aku bercucuran dikala mengamati kebesaran Allah dan perjuangan Rasululah disebalik sayunya takbir Aidil fitri. Aku terasa seolah olah aku sedang berada dibarisan depan di Baitullah. Ya Allah kalau betul pasti lebih indah, kau tunaikan cita cita dan hajatku yang satu ini. Sekembali dari solat hari raya, aku masih terdengar getar suara hubby menyatakan perasaannya pada solat hari raya pagi itu. Alhamdulilah Allah sedang menyentuh hati hati kita semua.
Raya tidak lengkap tanpa acara bersalam dan bermaaf maafan. Seperti biasa acara ini juga penuh dengan sedu sedan kami. Aku cuba kawal diri tapi, bila bersalam dengan Bak, aku sudah goyah bila aku fikirkan nikmatnya berbapa dan beribu dan sekelip mata bila Allah tarik nikmat ini, apa kah kita redha dan bersedia. Air mata itu juga mengalir kerana merasa terkesan dengan pengorbanan Bak dan Mak Selama ini, dan aku sebagai anak belum tentu mampu membalas budi dan jasa mereka. Hanya Allah kami panjatkan doa moga keduanya dipelihara penuh keberkatan dan diberikan petunjuk ke jalan yang lurus. Aku juga menitis air mata bila bersalam dengan Iwan, satu satunya adik lelaki yang tinggal. Sudah banyak perubahan yang ditunjukan Iwan, rajin bekerja dan sangat taat pada mak, sesekali aku juga menegurkan untuk tidak lupa solat. Allah sedang mengatur rezeki yang baik buat Iwan. Alhamdulilah dan aku yakin rezeki itu datang sebab Iwan niatkan untuk menghantar mak dan bak kemekah satu hari nanti. Insya Allah. Allah berkuasa menetukan rezeki pada sesiapa saja pilihannya tanpa hisab menurut salah satu ayat Quran dalam surah Albaqarah yang abru dimulai pembacaannya semula. Acara bersalam juga dikahiri dengan sesi fotography keluarga dan sessi pembahagian duit raya.  Aku terkilan, kakak aku dunia akhirat yang dikandung satu perut mak dengan aku masih tidak pulang kepangkuan kami. Aku tidak kisah kalau dia terus untuk memusuhi aku walau selepas 3 kali aku meminta maaf atas pertelingkahan yang berlaku kerana SIKAP MEREKA ANAK BERANAK, aku tidak kisah, yang aku kisah ialah janganlah menghukum diri sendiri dengan menajuhi bak dan mak. Jangan menghukum bak dan mak. Aku takut penyesalan akan terus menjadi SEMBILU dihati mereka. Kalau rumah besar yang aku bina untuk mak dan bak menajdi halangan buat mereka, mereka sebenarnya sudah terlalu bodoh dan sangat tertutup pintu hati untuk bersyukur pada Allah. Moga Allah terus mendengar doaku untuk mereka demi diri mereka sendiri.
Alhamdulilah, rumah kami meriah dengan kunjungan tetamu jauh dan dekat. Alhamdulilah tahun ini aku memilih untuk bersedekah lebih sedikit sepanjang ramadhan dan Syawal. Terfikir sudah lama tidak menghadiahkan baju raya pada Amin dan Ummi, idea asal untuk menhadiahkan kain pelikat dan telekung pada mereka terbatal atas sebab tidak sempat ketika kunjungan ke Jakarta tempoh hari. Buat ibu ibu saudara dan bapa saudara, syawal yang mulia ini aku sediakan mereka duit raya. Buat ummi dan Amin agak special, kerana mereka berdualah peneman mak dan bak dikala susah dan senang. Alhamdulilah sedekah itu juga aku panjangkan pada mak Long yang baru kehilangan suami, Mak su yang baru kehilangan anak dan Mak Mah yang sekain lama menjadi balu sepeninggalan Ayah Mat. Tahun ini juga kami mengunjungi pusara Arwah Azman bersama sama. Tersentuh hatiku melihat Alia dengan bangganya memanggil abah bila tiba disana, malah dengan bangga juga berkata, abah Alia ada kubur. Bergenang air mata aku. Aku juga melihat adik iparku Izan masih berteleku 10 minit dengan esak tangisnya, arwah sudah 3 tahun pergi. Kesedihan mereka akan terus menjadi kesedihan aku juga.
Alhamdulilah syukur yang besar dibulan syawal kerana masih banyak rahmat Allah mengiringi hidup kita. Kita masih ada ibu bapa tempat bermanja, masih ada adik adik yang bersepakat masih ada saudara mara yang tidak mencetuskan permusuhan dan dendam, masih ranum kasih sayang antara kami walau jarang jarang bersua. Anugerah hari kemenangan yang dirayakan penuh syukur, hanya menyebut perkara baik baik saja, penuh pelukan dan harapan yang jujur dan ikhlas yang lahir dari hati yang tidak mungkin sama sekali MENGKHIANTI. Ya Allah ya Tuhanku, kau satukan hati hati kami penuh keimanan kepadamu, penuh kasih sesama kami. Satukan kami kembali dijannah mu. Amin ya rabbal Alamin.